Tuesday, 13 September 2016

Semakin terhakisnya nilai-nilai kemanusiaan penyebab penculikan kanak-kanak


            
                 Penculikan dalam undang-undang jenayah bererti mengambil seseorang tanpa kerelaan, biasanya bagi menahan tanpa kebenaran atau tanpa menurut undang-undang yang sah. Kanak-kanak merupakan golongan kecil yang sering menjadi mangsa keadaan di dalam hal ini. Golongan seperti ini perlu dititikberatkan oleh semua pihak. Hal ini kerana golongan ini adalah golongan baru yang perlu diasah dengan baik. Sebagai masyarakat yang dewasa, kita tidak boleh mengabaikan mereka apatah lagi memperlekehkan. Kita perlu memelihara mereka ‘bagai menatang minyak yang penuh’. Kanak-kanak ini adalah cahaya mata yang tidak ternilai harganya namun pada masa kini masyarakat semakin hilang rasa kasih sayang dan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak. Oleh itu, pada masa sekarang, banyak berlakunya kes kehilangan kanak-kanak yang semakin menjadi-jadi seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Antara nilai kemanusiaan yang terhakis penyebab kepada penculikan kanak-kanak ialah wujudnya sikap tamak dalam diri individu yang ingin mengejar kemewahan hidup. Bagi mereka, ini merupakan jalan pintas untuk menyara hidup mereka. Individu seperti ini merupakan masyarakat yang berfikiran cetek dan hanya mahu memiliki kemewahan dengan mudah. Caranya mereka akan menculik kanak-kanak untuk dijual kepada individu lain. Terdapat juga kanak-kanak yang diculik dan dijual ke luar negara dan dijadikan pengemis jalanan. Ibu bapa merupakan golongan yang paling sedih dan kecewa kerana kehilangan anak mereka. Malah negara juga turut berasa kehilangan aset yang amat berharga.


Selain itu, masalah psikologi atau mental seseorang turut menyebabkan masalah penculikan ini berlaku. Mengikut statistik, kehilangan kanak-kanak banyak berkaitan dengan kes rogol dan bunuh. Keadaan ini boleh berlaku apabila segelintir individu yang memandang kanak-kanak seperti seseorang wanita yang pernah menolak cintanya. Perkara ini terjadi disebabkan oleh individu tersebut yang menyimpan perasaan dendam, sedih dan takut yang tidak terkawal ataupun mengalami penyakit jiwa. Oleh itu, pesakit ini berpotensi untuk membayangkan seseorang yang dilihatnya seperti seorang yang sentiasa berada dalam fikirannya. Kes seperti inilah yang akan menyebabkan kanak-kanak akan diculik, dirogol dan terus dibunuh sebagai mangsa keadaan.

    
Seterusnya ialah masalah institusi kekeluargaan. Pada masa ini, banyak kes perceraian berlaku sehingga menyebabkan anak-anak diabaikan. Ibu bapa yang hanya mementingkan diri sendiri mula mengabaikan tanggungjawabnya dan hanya melepaskan batuk di tangga. Anak-anak yang kurang kasih sayang ini hanya diberikan wang dan kebebasan. Oleh itu, anak-anak khususnya yang berumur 15 tahun ke bawah yang masih belum matang berpotensi untuk ditipu dan diculik. Sekiranya masalah ini berlaku, ibu bapa yang patut dipersalahkan kerana mereka yang menjadi punca anak-anak menjadi mangsa penculikan, rogol dan pembunuhan.

 Berdasarkan Pangkalan Data Statistik kanak-kanak hilang bawah 18 tahun, Polis Diraja Malaysia (PRDRM), sejak 2011 hingga November lepas, bilangan kanak-kanak Melayu hilang mencatatkan jumlah tertinggi dengan 6,713 kes atau melebihi 60 peratus diikuti lain-lain (1,378), India (1,059) dan Cina (641). Ini menunjukkan penculikan masih belum dapat diselesaikan dengan mudah jadi sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita hendaklah bersama-sama membantu pihak polis bagi membanteras penculikan ini. Penculikan ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia memberi kesan  buruk kepada negara. Ia perlu dititikberatkan dengan lebih terperinci bagi mengelakkan perkara sebegini berlaku. Kanak-kanak ini merupakan pelapis baru yang akan membawa kepada kemajuan bagi sesebuah negara. 

Pada pendapat saya, kanak-kanak ini merupakan golongan yang masih tidak matang dan tidak bersalah. Dewasa ini, kita perlu mengajar, mencurahkan kasih sayang dan mengambil berat terhadap mereka. Mereka ini seperti anugerah yang perlu dibelai dan dikasihi sebaik mungkin. Kita tidak perlu bersikap marah, kasar dan menjengkelkan kerana mereka mungkin akan terikut dengan tindakan orang dewasa. Jadi lah orang dewasa yang matang dan pandai mengawal perasaan. Anggaplah kanak-kanak ini seperti anak atau adik kepada kita. Sayangilah mereka sebaik mungkin. 

Sudah terang lagi bersuluh, masalah kehilangan kanak-kanak di negara ini perlulah dikurangkan dengan  kerjasama dari semua pihak. Hal ini kerana anak-anak ialah harapan negara yang paling berharga pada masa hadapan. Tanpa aset yang berharga ini, negara akan menanggung kerugian yang besar. Selain itu, pihak berkuasa perlu memainkan peranan penting untuk memastikan keamanan dan keselamatan rakyat terjamin. Untuk memastikan kanak-kanak dapat menjalani saat-saat kehidupan yang bermakna dan bahagia, ibu bapa adalah tempat perlindungan mereka. Oleh itu, ibu bapa haruslah memainkan peranan penting untuk memastikan anak-anak hidup bahagia dan selamat.