Penculikan dalam undang-undang jenayah bererti
mengambil seseorang tanpa kerelaan, biasanya bagi menahan tanpa kebenaran atau
tanpa menurut undang-undang yang sah. Kanak-kanak merupakan golongan kecil yang
sering menjadi mangsa keadaan di dalam hal ini. Golongan seperti ini perlu
dititikberatkan oleh semua pihak. Hal ini kerana golongan ini adalah golongan
baru yang perlu diasah dengan baik. Sebagai masyarakat yang dewasa, kita tidak
boleh mengabaikan mereka apatah lagi memperlekehkan. Kita perlu memelihara
mereka ‘bagai menatang minyak yang penuh’. Kanak-kanak ini adalah cahaya mata
yang tidak ternilai harganya namun pada masa kini masyarakat semakin hilang
rasa kasih sayang dan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak. Oleh itu,
pada masa sekarang, banyak berlakunya kes kehilangan kanak-kanak yang semakin
menjadi-jadi seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Antara nilai kemanusiaan yang terhakis penyebab kepada penculikan kanak-kanak ialah wujudnya sikap tamak dalam diri individu yang
ingin mengejar kemewahan hidup. Bagi mereka, ini merupakan jalan pintas untuk
menyara hidup mereka. Individu seperti ini merupakan masyarakat yang berfikiran
cetek dan hanya mahu memiliki kemewahan dengan mudah. Caranya mereka akan
menculik kanak-kanak untuk dijual kepada individu lain. Terdapat juga
kanak-kanak yang diculik dan dijual ke luar negara dan dijadikan pengemis
jalanan. Ibu bapa merupakan golongan yang paling sedih dan kecewa kerana
kehilangan anak mereka. Malah negara juga turut berasa kehilangan aset yang
amat berharga.
Selain itu, masalah
psikologi atau mental seseorang turut menyebabkan masalah penculikan ini
berlaku. Mengikut statistik, kehilangan kanak-kanak banyak berkaitan dengan kes
rogol dan bunuh. Keadaan ini boleh berlaku apabila segelintir individu yang
memandang kanak-kanak seperti seseorang wanita yang pernah menolak cintanya.
Perkara ini terjadi disebabkan oleh individu tersebut yang menyimpan perasaan
dendam, sedih dan takut yang tidak terkawal ataupun mengalami penyakit jiwa.
Oleh itu, pesakit ini berpotensi untuk membayangkan seseorang yang dilihatnya
seperti seorang yang sentiasa berada dalam fikirannya. Kes seperti inilah yang
akan menyebabkan kanak-kanak akan diculik, dirogol dan terus dibunuh sebagai
mangsa keadaan.
![](https://manlukeman.files.wordpress.com/2010/11/bdk.jpg)
Berdasarkan Pangkalan Data Statistik kanak-kanak hilang bawah 18 tahun, Polis Diraja Malaysia (PRDRM), sejak 2011 hingga November lepas, bilangan kanak-kanak Melayu hilang mencatatkan jumlah tertinggi dengan 6,713 kes atau melebihi 60 peratus diikuti lain-lain (1,378), India (1,059) dan Cina (641). Ini menunjukkan penculikan masih belum dapat diselesaikan dengan mudah jadi sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita hendaklah bersama-sama membantu pihak polis bagi membanteras penculikan ini. Penculikan ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia memberi kesan buruk kepada negara. Ia perlu dititikberatkan dengan lebih terperinci bagi mengelakkan perkara sebegini berlaku. Kanak-kanak ini merupakan pelapis baru yang akan membawa kepada kemajuan bagi sesebuah negara.
Pada pendapat saya, kanak-kanak ini merupakan golongan yang masih tidak matang dan tidak bersalah. Dewasa ini, kita perlu mengajar, mencurahkan kasih sayang dan mengambil berat terhadap mereka. Mereka ini seperti anugerah yang perlu dibelai dan dikasihi sebaik mungkin. Kita tidak perlu bersikap marah, kasar dan menjengkelkan kerana mereka mungkin akan terikut dengan tindakan orang dewasa. Jadi lah orang dewasa yang matang dan pandai mengawal perasaan. Anggaplah kanak-kanak ini seperti anak atau adik kepada kita. Sayangilah mereka sebaik mungkin.
Sudah terang lagi bersuluh, masalah kehilangan
kanak-kanak di negara ini perlulah dikurangkan dengan kerjasama dari semua pihak. Hal ini kerana anak-anak ialah harapan negara yang paling berharga
pada masa hadapan. Tanpa aset yang berharga ini, negara akan menanggung
kerugian yang besar. Selain itu, pihak berkuasa perlu memainkan peranan penting
untuk memastikan keamanan dan keselamatan rakyat terjamin. Untuk memastikan
kanak-kanak dapat menjalani saat-saat kehidupan yang bermakna dan bahagia, ibu
bapa adalah tempat perlindungan mereka. Oleh itu, ibu bapa haruslah memainkan
peranan penting untuk memastikan anak-anak hidup bahagia dan selamat.
No comments:
Post a Comment