Saturday, 15 October 2016

Jenayah Siber: Sejauh mana fakta ini benar

Apakah yang dimaksudkan dengan alam siber? Menurut kamus dewan (2001), siber bermaksud sesuatu yang dikaitkan dengan komputer dan internet. Kini, istilah ini digunakan secara meluas untuk menggambarkan sesuatu yang berkaitan dengan komputer, teknologi  maklumat,  internet dan pelbagai budaya internet yang merujuk kepada dunia atas talian sebagai media komunikasi. Internet mejadi suatu kemestian dalam kehidupan masyarakat moden. Pelbagai faedah boleh diperoleh daripada penggunaan internet. Sebagai contoh, pelbagai maklumat, informasi dan berita dapat diperoleh dengan melayari internet. Sesuatu maklumat itu bukan sahaja boleh diperoleh dalam beberapa saat sahaja malah hanya dengan sekali klik. Bagaimanapun, disebalik manfaat internet ini masih terdapat sesetengah pihak menjadikan internet sebagai medan untuk melakukan jenayah. Perbuatan  ini dikenali sebagai jenayah siber.

Antara jenayah siber seperti kecurian, penipuan, peras ugut dan segala aktiviti yang melibatkan perlanggaran undang-undang yang sedia ada dengan menggunakan kemudahan komputer dan  internet di ruangan siber. Dalam memperkatakan hal ini, Donn B. Parker (1998) menyatakan bahawa jenayah komputer adalah mana-mana perlakuan yang mempunyai niat dan dikaitkan dengan komputer melalui apa-apa cara dan menyebabkan mangsa menderita atau boleh menyebabkan penderitaan, kerugian dan berterusan.   


Daripada perspektif Cyber Security Malaysia menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lt. Kolonel Datuk Husin Jazri, isu jenayah siber amat serius kerana ia semakin meningkat setiap tahun.“Majoritinya adalah kes penipuan. Memang banyak aduan yang mereka terima dan jumlahnya dari Januari hingga Ogos tahun ini sahaja adalah sebanyak 1,300 kes. Jumlah ini meningkat sekali ganda dari tahun lalu iaitu hanya 675 kes,”katanya yang mengakui ia satu isu yang membimbangkan. Penipuan di alam siber berlaku apabila seseorang memalsukan atau menciplak sesuatu maklumat tertentu. Misalnya, terdapat pihak-pihak yang mengambil kesempatan dengan menciplak laman web perbankan. Penipuan siber ini cukup mudah kerana hanya memerlukan internet dan perisian pelayar sahaja.

Tambahan pula, penggodam juga merupakan jenayah siber yang sangat terkenal dalam kalangan pengguna internet. Menggodam adalah memasuki sesuatu sistem tanpa melalui kod keselamatan. Perbuatan ini hanya boleh dilakukan oleh seseorang yang mahir dan pakar tentang komputer dan internet kerana bukan mudah untuk menggodam sesuatu sistem. Perbuatan ini boleh menjadi sesuatu yang bahaya kerana penggodam bukan sahaja boleh mengetahui maklumat sulit sesebuah syarikat malah maklumat sulit orang perseorangan.

Seterusnya, pornografi turut dikelaskan sebagai jenayah siber. Malah, sebarang perbuatan pornografi adalah dilarang dan melanggar undang-undang. Hal ini disebabkan pornografi tidak sesuai dengan masyarakat dan budaya Timur. Pornografi siber berlaku apabila foto-foto yang melampau seperti gambar tidak sopan dimasukkan dalam internet untuk paparan umum. Walaupun pemilik foto meletakkan gambar tersebut dengan kerelaan hati namun tindakan ini tetap dianggap jenayah. Bagaimanapun, dalam sesetengah kes foto-foto pornografi ini dimasukkan tanpa pengetahuan pemiliknya. Oleh itu, timbul pula isu penganiayaan. Perkara ini timbul oleh pelbagai faktor antaranya penjenayah siber berasa sangat dendam dengan seseorang perempuan dan bertindak menyebarkan foto-foto perempuan itu. 

Pada pendapat saya, memandangkan internet ketika ini tidak mempunyai sempadan, setiap negara tidak boleh bertindak sendirian menangani ancaman jenayah siber, sebaliknya memerlukan kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan sama ada sektor kerajaan atau swasta. Selain itu, bagi kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah masih belum berkelayakan untuk diajar melayari internet. Perkara ini untuk menghindari mereka daripada ketagihan dalam melayari internet sehingga lalai dalam melaksanakan tanggungjawab. Ibu bapa perlu memantau segala aktiviti anak-anak mereka sama ada secara dalaman atau luaran. Penggunaan alam siber ini bukanlah kesemuanya buruk malah ia juga mempunyai kebaikan yang sendiri sebagai contoh, kita boleh memperoleh pendapatan melalui alam siber seperti Irfan Khairi merupakan jutawan muda Internet pada umur 25 tahun yang pada mulanya hanya seorang bekerja sambilan sebagai tukang cuci di pasar raya United Kingdom dengan kadar upah paling rendah. Tetapi minatnya kepada bidang IT sangat tinggi sehingga beliau mampu memperoleh pendapatan sendiri. Apa yang penting kita sebagai pengguna perlu bijak menggunakan teknologi ke arah lebih baik dengan perumpamaan ‘tepuk dada tanya selera’.

 Kesimpulannya, dalam dunia tanpa sempadan, kita harus mengambil langkah untuk melindungi sistem komputer kita sendiri kerana serangan mungkin dilakukan oleh orang dari jauh mahupun dekat melalui dunia siber. Kita harus ingat bahawa internet diakses oleh berbillion-billion orang di dunia ini yang terdiri daripada kategori yang baik mahupun buruk. Oleh itu, kita harus ambil langkah berjaga-jaga seperti jangan berkongsi maklumat peribadi termasuklah nama penuh, alamat rumah, nombor telefon, nombor kad kredit dengan orang yang tidak dikenali, jangan mendedahkan kata laluan internet dengan sesiapa dan berhati-hati ketika berjumpa dengan orang yang hanya dikenali melalui internet. Kita juga harus lengkapkan diri kita dengan ilmu tentang komputer untuk melindungi kita daripada masalah-masalah seperti penyebaran virus dan penggodam.


Tuesday, 13 September 2016

Semakin terhakisnya nilai-nilai kemanusiaan penyebab penculikan kanak-kanak


            
                 Penculikan dalam undang-undang jenayah bererti mengambil seseorang tanpa kerelaan, biasanya bagi menahan tanpa kebenaran atau tanpa menurut undang-undang yang sah. Kanak-kanak merupakan golongan kecil yang sering menjadi mangsa keadaan di dalam hal ini. Golongan seperti ini perlu dititikberatkan oleh semua pihak. Hal ini kerana golongan ini adalah golongan baru yang perlu diasah dengan baik. Sebagai masyarakat yang dewasa, kita tidak boleh mengabaikan mereka apatah lagi memperlekehkan. Kita perlu memelihara mereka ‘bagai menatang minyak yang penuh’. Kanak-kanak ini adalah cahaya mata yang tidak ternilai harganya namun pada masa kini masyarakat semakin hilang rasa kasih sayang dan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak. Oleh itu, pada masa sekarang, banyak berlakunya kes kehilangan kanak-kanak yang semakin menjadi-jadi seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Antara nilai kemanusiaan yang terhakis penyebab kepada penculikan kanak-kanak ialah wujudnya sikap tamak dalam diri individu yang ingin mengejar kemewahan hidup. Bagi mereka, ini merupakan jalan pintas untuk menyara hidup mereka. Individu seperti ini merupakan masyarakat yang berfikiran cetek dan hanya mahu memiliki kemewahan dengan mudah. Caranya mereka akan menculik kanak-kanak untuk dijual kepada individu lain. Terdapat juga kanak-kanak yang diculik dan dijual ke luar negara dan dijadikan pengemis jalanan. Ibu bapa merupakan golongan yang paling sedih dan kecewa kerana kehilangan anak mereka. Malah negara juga turut berasa kehilangan aset yang amat berharga.


Selain itu, masalah psikologi atau mental seseorang turut menyebabkan masalah penculikan ini berlaku. Mengikut statistik, kehilangan kanak-kanak banyak berkaitan dengan kes rogol dan bunuh. Keadaan ini boleh berlaku apabila segelintir individu yang memandang kanak-kanak seperti seseorang wanita yang pernah menolak cintanya. Perkara ini terjadi disebabkan oleh individu tersebut yang menyimpan perasaan dendam, sedih dan takut yang tidak terkawal ataupun mengalami penyakit jiwa. Oleh itu, pesakit ini berpotensi untuk membayangkan seseorang yang dilihatnya seperti seorang yang sentiasa berada dalam fikirannya. Kes seperti inilah yang akan menyebabkan kanak-kanak akan diculik, dirogol dan terus dibunuh sebagai mangsa keadaan.

    
Seterusnya ialah masalah institusi kekeluargaan. Pada masa ini, banyak kes perceraian berlaku sehingga menyebabkan anak-anak diabaikan. Ibu bapa yang hanya mementingkan diri sendiri mula mengabaikan tanggungjawabnya dan hanya melepaskan batuk di tangga. Anak-anak yang kurang kasih sayang ini hanya diberikan wang dan kebebasan. Oleh itu, anak-anak khususnya yang berumur 15 tahun ke bawah yang masih belum matang berpotensi untuk ditipu dan diculik. Sekiranya masalah ini berlaku, ibu bapa yang patut dipersalahkan kerana mereka yang menjadi punca anak-anak menjadi mangsa penculikan, rogol dan pembunuhan.

 Berdasarkan Pangkalan Data Statistik kanak-kanak hilang bawah 18 tahun, Polis Diraja Malaysia (PRDRM), sejak 2011 hingga November lepas, bilangan kanak-kanak Melayu hilang mencatatkan jumlah tertinggi dengan 6,713 kes atau melebihi 60 peratus diikuti lain-lain (1,378), India (1,059) dan Cina (641). Ini menunjukkan penculikan masih belum dapat diselesaikan dengan mudah jadi sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita hendaklah bersama-sama membantu pihak polis bagi membanteras penculikan ini. Penculikan ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia memberi kesan  buruk kepada negara. Ia perlu dititikberatkan dengan lebih terperinci bagi mengelakkan perkara sebegini berlaku. Kanak-kanak ini merupakan pelapis baru yang akan membawa kepada kemajuan bagi sesebuah negara. 

Pada pendapat saya, kanak-kanak ini merupakan golongan yang masih tidak matang dan tidak bersalah. Dewasa ini, kita perlu mengajar, mencurahkan kasih sayang dan mengambil berat terhadap mereka. Mereka ini seperti anugerah yang perlu dibelai dan dikasihi sebaik mungkin. Kita tidak perlu bersikap marah, kasar dan menjengkelkan kerana mereka mungkin akan terikut dengan tindakan orang dewasa. Jadi lah orang dewasa yang matang dan pandai mengawal perasaan. Anggaplah kanak-kanak ini seperti anak atau adik kepada kita. Sayangilah mereka sebaik mungkin. 

Sudah terang lagi bersuluh, masalah kehilangan kanak-kanak di negara ini perlulah dikurangkan dengan  kerjasama dari semua pihak. Hal ini kerana anak-anak ialah harapan negara yang paling berharga pada masa hadapan. Tanpa aset yang berharga ini, negara akan menanggung kerugian yang besar. Selain itu, pihak berkuasa perlu memainkan peranan penting untuk memastikan keamanan dan keselamatan rakyat terjamin. Untuk memastikan kanak-kanak dapat menjalani saat-saat kehidupan yang bermakna dan bahagia, ibu bapa adalah tempat perlindungan mereka. Oleh itu, ibu bapa haruslah memainkan peranan penting untuk memastikan anak-anak hidup bahagia dan selamat.