Apakah
yang dimaksudkan dengan alam siber? Menurut kamus dewan (2001), siber bermaksud sesuatu
yang dikaitkan dengan komputer dan internet. Kini, istilah ini digunakan secara
meluas untuk menggambarkan sesuatu yang berkaitan dengan komputer,
teknologi maklumat, internet dan pelbagai budaya internet yang
merujuk kepada dunia atas talian sebagai media komunikasi. Internet mejadi
suatu kemestian dalam kehidupan masyarakat moden. Pelbagai faedah boleh
diperoleh daripada penggunaan internet. Sebagai contoh, pelbagai maklumat,
informasi dan berita dapat diperoleh dengan melayari internet. Sesuatu maklumat
itu bukan sahaja boleh diperoleh dalam beberapa saat sahaja malah hanya dengan
sekali klik. Bagaimanapun, disebalik manfaat internet ini masih terdapat
sesetengah pihak menjadikan internet sebagai medan untuk melakukan jenayah.
Perbuatan ini dikenali sebagai jenayah siber.
Antara jenayah
siber seperti kecurian, penipuan, peras ugut dan segala aktiviti yang
melibatkan perlanggaran undang-undang yang sedia ada dengan menggunakan
kemudahan komputer dan internet di
ruangan siber. Dalam memperkatakan hal ini, Donn B. Parker (1998) menyatakan bahawa jenayah komputer adalah mana-mana perlakuan yang mempunyai niat dan dikaitkan dengan komputer melalui apa-apa cara dan menyebabkan mangsa menderita atau boleh menyebabkan penderitaan, kerugian dan berterusan.
Daripada
perspektif Cyber Security Malaysia menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lt.
Kolonel Datuk Husin Jazri, isu jenayah siber amat serius kerana ia semakin
meningkat setiap tahun.Majoritinya adalah kes penipuan. Memang banyak aduan
yang mereka terima dan jumlahnya dari Januari hingga Ogos tahun ini sahaja
adalah sebanyak 1,300 kes. Jumlah ini meningkat sekali ganda dari tahun lalu
iaitu hanya 675 kes,katanya yang mengakui ia satu isu yang membimbangkan. Penipuan
di alam siber berlaku apabila seseorang memalsukan atau menciplak sesuatu
maklumat tertentu. Misalnya, terdapat pihak-pihak yang mengambil kesempatan
dengan menciplak laman web perbankan. Penipuan siber ini cukup mudah kerana
hanya memerlukan internet dan perisian pelayar sahaja.
Tambahan
pula, penggodam juga merupakan jenayah siber yang sangat terkenal dalam kalangan
pengguna internet. Menggodam adalah memasuki sesuatu sistem tanpa melalui kod
keselamatan. Perbuatan ini hanya boleh dilakukan oleh seseorang yang mahir dan
pakar tentang komputer dan internet kerana bukan mudah untuk menggodam sesuatu
sistem. Perbuatan ini boleh menjadi sesuatu yang bahaya kerana penggodam bukan
sahaja boleh mengetahui maklumat sulit sesebuah syarikat malah maklumat sulit
orang perseorangan.
Seterusnya,
pornografi turut dikelaskan sebagai jenayah siber. Malah, sebarang perbuatan
pornografi adalah dilarang dan melanggar undang-undang. Hal ini disebabkan
pornografi tidak sesuai dengan masyarakat dan budaya Timur. Pornografi siber
berlaku apabila foto-foto yang melampau seperti gambar tidak sopan dimasukkan
dalam internet untuk paparan umum. Walaupun pemilik foto meletakkan gambar
tersebut dengan kerelaan hati namun tindakan ini tetap dianggap jenayah.
Bagaimanapun, dalam sesetengah kes foto-foto pornografi ini dimasukkan tanpa
pengetahuan pemiliknya. Oleh itu, timbul pula isu penganiayaan. Perkara ini
timbul oleh pelbagai faktor antaranya penjenayah siber berasa sangat dendam
dengan seseorang perempuan dan bertindak menyebarkan foto-foto perempuan itu.
Pada
pendapat saya, memandangkan internet ketika ini tidak mempunyai sempadan,
setiap negara tidak boleh bertindak sendirian menangani ancaman jenayah siber,
sebaliknya memerlukan kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan sama
ada sektor kerajaan atau swasta. Selain itu, bagi kanak-kanak yang berumur 12
tahun ke bawah masih belum berkelayakan untuk diajar melayari internet. Perkara ini untuk menghindari mereka daripada ketagihan dalam melayari internet sehingga lalai dalam melaksanakan tanggungjawab. Ibu bapa perlu memantau segala aktiviti anak-anak mereka
sama ada secara dalaman atau luaran. Penggunaan alam siber ini bukanlah kesemuanya buruk malah ia
juga mempunyai kebaikan yang sendiri sebagai contoh, kita boleh memperoleh
pendapatan melalui alam siber seperti Irfan Khairi merupakan jutawan muda Internet
pada umur 25 tahun yang pada mulanya hanya seorang bekerja sambilan sebagai
tukang cuci di pasar raya United Kingdom dengan kadar upah paling rendah.
Tetapi minatnya kepada bidang IT sangat tinggi sehingga beliau mampu memperoleh
pendapatan sendiri. Apa yang penting kita sebagai pengguna perlu bijak
menggunakan teknologi ke arah lebih baik dengan perumpamaan ‘tepuk dada tanya
selera’.
Kesimpulannya,
dalam dunia tanpa sempadan, kita harus mengambil langkah untuk melindungi
sistem komputer kita sendiri kerana serangan mungkin dilakukan oleh orang dari
jauh mahupun dekat melalui dunia siber. Kita harus ingat bahawa
internet diakses oleh berbillion-billion orang di dunia ini yang terdiri
daripada kategori yang baik mahupun buruk. Oleh itu, kita harus ambil langkah
berjaga-jaga seperti jangan berkongsi maklumat peribadi termasuklah nama penuh,
alamat rumah, nombor telefon, nombor kad kredit dengan orang yang tidak
dikenali, jangan mendedahkan kata laluan internet dengan sesiapa dan berhati-hati
ketika berjumpa dengan orang yang hanya dikenali melalui internet. Kita juga harus lengkapkan diri kita dengan ilmu
tentang komputer untuk melindungi kita daripada masalah-masalah seperti
penyebaran virus dan penggodam.
No comments:
Post a Comment